Cari Blog Ini

Khamis, 26 Mac 2015

Gangguan Emosi Murid






Pengenalan


Gangguan Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Kamus dewan bahasa dan pustaka telah memberi maksud kepada gangguan emosi sebagai akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.  Seterusnya gangguan emosi juga dapat ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka me­nyendiri dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Antara gangguan personaliti yang berlaku ialah antisosial. Ketidakmampuan untuk belajar yang tidak dapat dijelaskan oleh faktor-faktor intelektual, kesihatan juga menjadi definisi kepada gangguan emosi.  Secara ringkasnya gangguan emosi boleh dikatakan bahawa gangguan yang diterima oleh seseorang murid yang menyebabkan emosi murid tersebut tidak stabil.  Gangguan emosi ini akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan seseorang murid. Gangguan emosi adalah satu perkara yang amat serius pada usia persekolahan. Mereka akan mengalami gangguan emosi yang serius dan ini menyebabkan stress kepada murid-murid.



1.0 Jenis- Jenis Gangguan Emosi Di Kalangan Murid
Perasaan atau emosi merupakan salah satu tunjang yang penting dalam kehidupan setiap insan di muka bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberikan kesan- kesan negatif kepada seseorang individu. Di antara kesan negatif itu ialah merudumnya motivasi dalam melakukan sesuatu perkara atau tugas, suka memencilkan diri, rasa rendah diri, sensitif atau mudah mentafsir sesuatu itu adalah salah, dan yang paling kritikal jika berlanjutan gangguan emosi ini akan menjadi sindrom yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Gangguan emosi bukan hanya belaku di kalangan orang dewasa dan golongan remaja, malah kanak- kanak atau pelajar juga mengalaminya.

Gangguan emosi ini dapat dikategorikan dalam tiga jenis iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Gangguan ini berlaku sama ada secara ringan di mana gangguan tersebut boleh ditangani atau gangguan yang terlalu kuat misalnya terlalu sedih sehingga mencederakan diri sendiri. Murid yang mengalami gangguan emosi, mampu memberikan kesan negatif kepada pencapaian akademiknya. Hal ini mampu menjejaskan hubungan murid dengan orang lain dan keupayaannya belajar.

Sebagai seorang guru yang telah lama berkhidmat di sekolah sememangnya masalah gangguan emosi di kalangan murid bukanlah satu pengalaman yang baru bagi saya. Setiap hari berhadapan dengan murid-murid saya dapat mengenalpasti bebrapa gangguan emosi di kalangan mereka. Di antara jenis- jenis gangguan emosi yang sering berlaku di kalangan murid adalah seperti;

1.1  Malu bertanya.
Di dalam sesebuah kelas, terdapat murid yang sukar bertanya kepada guru atau rakan sekelas walaupun menghadapi masalah pemahaman terhadapat topik pengajaran yang disampaikan. Hal demikian kerana rasa ragu mungkin hal yang disoalnya kelak mendapat ejekan dari rakan- rakannya atau bimbang guru akan memarahinya. Murid ini suka memendamkan hasrat ingin tahu kerana sifat malu yang sukar dibendungnya, kesannya dia akan mengalami kesukaran memahami dan mengikuti satu- satu aktiviti atau topik yang disampaikan oleh guru.

1.2  Suka mengasingkan diri
Kadang- kadang dalam sesebuah kelas guru mendapati ada pelajar yang lebih suka duduk berasingan dengan rakan- rakan walaupun kerusi dan meja diatur dalam bentuk kumpulan yang mungkin terdiri daripada empat atau enam orang atau mengikut keperluan jenis aktiviti pembelajaran. Jika duduk bersama ahli kumpulan murid ini sukar memberi kerjasama kepada ahli kumpulannya, sama ada dalam bentuk buah fikiran atau tenaga. Di luar kelas murid yang suka mengasingkan diri akan menjauhkan diri dari kumpulan rakan- rakannya. Di kantin makan bersendirian, sepas makan murid yang lain akan berkumpul beramai- ramai bermain atau berbual- bual dia pula mengelakkan diri dari kumpulan tersebut. Kerana sikap itu rakan- rakan juga menjauhinya.


1.3  Mudah Tersinggung dan Pemarah
Lazimnya guru akan menegur murid yang berkelakuan tidak betul. Misalnya mengganggu rakan ketika belajar, atau tanpa sebab yang tidak berasas. Ada murid bila ditegur akan cepat marah atau menangis tanpa disentuh atau dimarahi. Baginya setiap teguran yang ditujukan kepadanya itu  adalah merupakan sesuatu hukuman yang sangat berat baginya dan tidak boleh diterima. Ia juga merasakan teguran itu sebagai suatu tindakan yang amat menyakitkan dan tidak boleh dilupakan malah  ia menganggap dirinya yang ditegur atau dimarahi adalah orang yang tidak boleh dimaafkan lagi. Dan yang lebih parah lagi ada di kalangan murid yang mengalami gangguan emosi jenis ini bertindak agresif dan mengambil tindakan yang kadang-kadang membahayakan diri sendiri atau rakan-rakan yang lain.

1.4  Sedih
Perasaan sedih timbul mungkin kerana berlakunya masalah keluarga di rumah, ada keinginannya yang tidak tercapai, rakan- rakan menjauhinya kerana tingkah lakunya, atau kemiskinannya, atau pelbagai jenis gangguan yang menimbulkan kesedihan di hati murid. Akibat rasa sedih, murid tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap aktiviti pembelajaran di sekolah. Kadangkala murid yang mengalami kesedihan menangis tanpa sebab.

1.5  Malu
Murid pemalu biasanya jarang bercakap atau bertanya. Rasa malu berlaku mungkin kerana pakaiannya yang lusuh berbanding rakan- rakan yang sentiasa berpakaian baru dan kemas. Atau dia pernah melakukan sesuatu tindakan yang telah melanggar peraturan sekolah yang menyebabkan dia menerima hukuman.

1.6  Suka Membuli
Kes buli berlaku di sekolah rendah dan menengah. Buli dilakukan secara kumpulan atau individu, dan berlaku kepada sekumpulan atau seorang murid. Pembuli merasa satu kepuasan apabila keinginan berjaya dilaksanakan tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada mangsa atau dirinya sendiri kelak.



2.0  Punca- Punca Gangguan Emosi
Mengiku Terri Mauro (2004), banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi dalam kalangan kanak – kanak. Namun begitu, antara faktor – faktor yang ketara ialah masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga.
 Secara ringkasnya, bentuk- bentuk gangguan emosi di kalangan murid ialah;
ü  Perbalahan keluarga
ü  Corak sosial keluarga yang kasar dan agresif
ü  Pengaruh rakan sebaya
ü  Tidak mempunyai keyakinan diri atau tidak berani mencuba atau mengalurkan buah fikiran
ü  Kemahiran sosial yang rendah
ü  Tidak suka berhubung dengan orang lain atau suka mengasingkan diri

3.0  Langkah- Langkah Menangani Gangguan Emosi Di Kalangan Murid
Dalam menangani masalah gangguan emosi di kalangan murid-murid terdapat banyak pihak yang harus mengambil peranan mengatasi masalah ini agar murid-murid ini tidak terus hanyut oleh gangguan emosi mereka. Hal ini penting terutamanya kerana kehidupan murid pada masa kini adalah penentu kehidupan mereka di masa akan datang. Kita sebagai seorang guru di sekolah adalah orang yang paling rapat dan menjadi pengganti peranan ibu bapa apabila anak-anak ini berada di sekolah. Sudah sewajarnya juga kita tidak ingin murid kita menjadi mangsa gangguan emosi mereka dan seboleh-bolehnya kita berusaha untuk membimbing mereka ke jalan yang sepatutnya mereka jalani demi untuk masa depan mereka. 

3.1  Peranan Guru
Sebagai seorang guru terutama guru kelas kita adalah orang yang paling rapat dengan murid-murid kita.  Guru harus bijak menghadapi murid yang beremosi agar murid terus bermotivasi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Setiap hari berhadapan dengan murid-murid tugas guru sepatutnya bukan sekadar menyampaikan ilmu atau pengajaran akademik semata-mata malah kita mesti harus bijak mengesan perubahan sikap atau kejanggalan perlakuan di kalangan murid-murid kita. Seorang guru juga harus menyedari tentang gangguan emosi dan jenis tekanan emosi serta mengenalpasti punca- puncanya. Sebagai langkah awal guru haruslah menggunakan modifikasi tingkah laku yang bersesuaian dengan murid yang mengalami gangguan emosi ini. Pendekatan awal termasuklah dengan cara memberikan peneguhan positif  kepada tingkah laku yang baik, manakala dendaan diberikan kepada tingkah laku yang negatif.

Semasa berdampingan dengan murid tersebut guru haruslah berusaha memberikan pendedahan yang maksimum mengenai cara meningkatkan kecerdasan emosi dengan lebih berkesan.

Selain dari itu guru juga mestilah mempunyai kemahiran dalam mengawal kelas melalui pendekatan peraturan. Demikian juga murid perlu diperjelaskan dengan peraturan - peraturan yang telah disediakan oleh guru yang harus dipatuhi oleh semua murid tanpa adanya amalan diskriminasi di kalangan mereka. Bagi murid-murid yang melakukan kesalahan, mereka perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan yang telah dilakukan dan seterusnya diberi peluang untuk memperbaiki kesalahan tersebut.

Tugasan utama guru adalah mengajar. Namun bagi murid yang mengalami gangguan emosi selalunya  juga menghadapi masalah dalam menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Ada kalanya murid-murid ini menghadapi tekanan akibat suasana bilik darjah yang sesak dan tidak merangsang motivasi murid untuk menerima pembelajaran. Oleh itu adalah perlu bagi seseorang guru berusaha menyediakan bilik kelas yang kondusif, menghidangkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik.

3.2  Peranan Ibu Bapa
Kerjasama daripada ibu bapa sangat penting bagi meningkatkan tahap emosi dan prestasi akademik murid dari masa ke semasa. Seorang guru yang telah mengenalpasti masalah gangguan emosi di kalangan murid-muridnya juga perlulah berhubung dengan ibu bapa berkenaan terutamanya untuk mengenalpasti punca masalah gangguan emosi tersebut juga untuk  menangani masalah murid tersebut. Sebagai ibu bapa murid, mereka seharusnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada guru dengan memberikan maklumat yang diperlukan oleh guru khas yang bersangkut- paut dengan anaknya. Guru pula menceritakan atau melaporkan perihal perlakuan atau prestasi pembelajaran anak muridnya kepada ibu bapa murid.

3.3  Peranan Guru Kaunseling
Langkah seterusnya bagi seorang guru haruslah merujuk masalah gangguan emosi di kalangan murid-muridnya kepada guru bimbingan kaunseling kerana guru bimbingan dan kaunseling ini telah dilatih dengan kemahiran untuk menangani masalah seumpama itu.
Biasanya dalam kes-kes yang melibatkan  murid yang menghadapi gangguan emosi sifat kurang kemahiran sosial, guru bimbingan dan kaunseling mempunyai program khas bagi membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkah laku dan meningkatkan konsep kendiri ditadbir yang secara profesional sesuai dengan usia murid.

Demikian juga halnya bagi murid yang mengalami masalah psikologi mereka perlu mendapat khidmat sokongan daripada guru kaunseling disamping bimbingan kerjaya supaya dapat meningkatkan konsep kendiri yang lebih positif

3.4  Peranan Rakan Sebaya
Elemen-elemen yang berkaitan dengan persekitaran murid juga haruslah diberi perhatian oleh seseorang guru dalam penyelesaian masalah gangguan emosi di kalangan murid. Ini terutama mengambil kira perhubungan murid berkenaan dengan rakan-rakan sebaya yang sekelas dengannya. Hal ini penting kerana kajian menunjukkan selain dari pengaruh ahli keluarga, seorang kanak- kanak juga mudah dipengaruhi oleh tingkahlaku rakannya. Justeru rakan memainkan peranan penting memberi dorongan dan perangsang terhadap sikap positif rakan yang menghadapi konflik emosi. Oleh itu guru boleh meminta kerjasama dari murid-murid yang lain untuk membantu rakan murid yang menghadapi gangguan emosi tadi.

3.5  Mengadakan seminar atau dialog bersama ibu bapa murid
Selain dari langkah-langkah di atas, guru boleh mencadangkan kepada pihak pentadbiran sekolah untuk menganjurkan program berbentuk seminar atau dialog bersama ibu bapa murid. Pihak sekolah boleh meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai penaja atau penganjur bersama. Program tersebut boleh menyelesaikan masalah isu-isu yang berkaitan dengan akademik atau kurikulum dan ko kurikulum, ia juga diharapkan dapat menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan sosial khasnya disiplin murid.



Kesimpulan
 “Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mengawal lebih baik daripada merawat. Masalah tekanan emosi di kalangan murid di sekolah rendah harus dibendung lebih awal agar tidak terbawa sehingga ke sekolah menengah atau ke alam dewasa mereka. Kesihatan mental dan emosi murid- murid amat penting dipelihara dan dijaga.
Fizikal dan mental yang sihat adalah produk yang terbaik untuk membina insan yang gemilang dan sempurna hidupnya yang dimanifestasikannya dalam tingkahlaku sosialnya. Membina rakyat yang harmonis fizikal dan mentalnya serta rohaninya harus digembeling oleh semua pihak. Insan yang pintar, kental mentalnya, utuh pegangan agamanya sudah pasti akan menjana sebuah negara yang berjaya dan harmonis pembangunan dan ekonomi, keamanan dan kestabilan politiknya, dihormati dan dicontohi oleh masyarakat dunia.

Apapun tugas menangani masalah gangguan emosi di kalangan murid ini adalah menjadi tanggungajwab semua pihak dan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada guru semata-mata. Amalan tuding menuding di kalangan pelbagai pihak yang saling menyalahkan di antara satu sama lain seharusnya tidak lagi berlaku kerana amalan ini tidak akan menyelesaikan masalah malah akan merugikan semua pihak.



RUJUKAN
Guru dan Cabaran Semasa. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying. (2010) Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.


1 ulasan: